PERUTUSAN Y.A.B. PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1432 HIJRAH
PADA 12 RABIULAWAL 1432H BERSAMAAN 15 FEBRUARI 2011
SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1432 HIJRAH
PADA 12 RABIULAWAL 1432H BERSAMAAN 15 FEBRUARI 2011
Assalamu ‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia, 1Ummah; Saudara dan saudari sekalian,
- Saya sangat bersyukur, dengan izin dan inayah Allah SWT, kita masih lagi dapat meneruskan tradisi murni masyarakat kita, iaitu mengadakan sambutan Maulidur Rasul SAW setiap menjelang Rabiulawal saban tahun. Kelahiran baginda Rasulullah SAW merupakan satu detik istimewa yang amat bermakna buat umat Islam. Maka pada tanggal 12 Rabiulawal 1432 Hijriah ini, bersamaan dengan 15 Februari 2011 Masehi, sekali lagi kita meraikan sambutan yang penuh barakah ini.
- Sesungguhnya, keistimewaan sambutan Maulidur Rasul ini amat berkait rapat dengan keunggulan dan kemuliaan baginda Rasulullah SAW. Menerusi al-Quran, Allah SWT sendiri merakamkan bahawa diri Rasulullah SAW itu adalah ‘cahaya’;. Inilah cahaya yang telah menerangi Kebenaran. Melalui ‘cahaya’ baginda SAW ini, Allah telah zahirkan agama Islam sebagai petunjuk buat kebahagian manusia sejagat. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Maidah ayat ke-15, yang maksudnya:
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya.”
- Begitulah, apa yang dinyatakan oleh ayat al-Quran ini telah dibuktikan dan disaksikan oleh sejarah. Sirah gemilang Rasulullah SAW tidak dapat dinafikan oleh sesiapapun. Sepanjang sejarah ketamadunan manusia, tidak ada insan sehebat dan sebegitu istimewa seperti Rasulullah SAW. Jika kekaguman ini diungkap dan diluahkan oleh tokoh-tokoh daripada kalangan umat Islam, ini sudah tentu tidaklah begitu menghairankan. Namun apa yang terjadi, seluruh para sejarahwan yang ikhlas, mengakui dan menakjubi fakta emas ini.
- Bertepatan dengan tema Maulidur Rasul pada tahun ini iaitu ’1Malaysia, 1Ummah’; sudah tentulah Rasulullah SAW sebagai ikon terbaik semua umat manusia, maka sirah Rasulullah SAW telah membuktikan bahawa baginda amat mengutamakan perpaduan antara umat yang berbilang kaum dan agama di Madinah. Iktibar ini dilaksanakan di negara kita melalui penghayatan ’1Malaysia, 1Ummah’.
- Justeru, kekuatan berpaksikan perpaduan inilah yang menjadi rencah utama membawa transformasi murni kepada umat Islam di negara ini. Mesej ini perlu dihayati dan disebarkan kepada seluruh dunia Islam. Dalam era globalisasi ini, apa sahaja krisis yang berlaku di negara lain, akan dirasai impaknya oleh negara kita. Lihat sahaja, apa yang terjadi di Mesir, telah turut memberi kesan langsung kepada 11,000 orang pelajar dan rakyat kita di sana. Bagi memastikan aset muda dan bakal pewaris negara ini selamat, kerajaan telah menjalankan misi menyelamat dengan pantas dan berkesan.
- Meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan halangan, namun usaha membawa rakyat Malaysia keluar daripada Mesir tetap diteruskan. Tetapi malangnya, terdapat segelintir pihak yang cuba mempolitikkan misi yang murni ini. Namun ianya tidak menjadi halangan untuk kita meneruskan misi tersebut kerana yang pentingnya ialah memastikan keselamatan warga Malaysia di sana. Misi nasional ini turut mendapat dukungan pihak swasta, rakyat dan pihak negara Mesir serta Arab Saudi dengan satu semangat kerjasama yang amat tinggi. Inilah ajaran Islam yang sinarannya bersumber daripada cahaya yang diutus oleh Allah SWT, iaitu baginda Rasulullah SAW.
- Marilah kita jadikan sambutan yang penuh keberkatan ini sebagai pemangkin untuk kita terus melonjakkan transformasi negara secara holistik dalam semua bidang bagi melahirkan kekuatan 1Ummah yang progresif. Sebagaimana Rasulullah SAW merupakan insan yang hebat, maka kita juga perlu menjadi umat yang hebat. Saya mendoakan, agar sambutan Maulid Rasulullah SAW kali ini, benar-benar menggerakkan kita untuk berjuang mencapai hasanah di dunia dan di akhirat, sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Insya Allah.
Sekian. Wabillahit Taufik wal Hidayah. Wassalamu ‘alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.
sumber :www.1malaysia.com.my
sumber :www.1malaysia.com.my
0 comments:
Post a Comment